Salam takziah kepada Brazil terutama rakyatnya yang miskin dan merempat, atas kematian samba ditangan gergasi bernama kapitalis global. Gergasi ini dipacu oleh para penguasa yg tidak kelihatan. Candunya mampu membuat majoriti umat manusia lupa dan terhijab buta. Ia memabuk, mengkhayal dan merasuk. Bacakanlah talkin untuk keindahan samba yg sudah dibunuh oleh kelicikan perniagaan global berbilion dollar. Bolasepak kini ditimpa tragedi yg sama dengan seni rupa.
↧
TAKZIAH BUAT BRAZIL.
↧
TAHNIAH KEPADA PRESIDEN OBAMA
Tahniah kepada Presiden Obama bersama semua para juak-juak, pelobi, penaja dan pendokong di belakang kamu atas sokongan kamu semua kepada kesyaitanan rejim Zionis, dan atas menghalalkan pembunuhan anak-anak kecil yang tidak berdosa. Kata hikmat "mempertahankan diri" sambil "mengurangkan kecederaan dan kematian" yg kamu pakai utk menghalalkan kerja syaitan itu adalah jampi dan mentera kamu yg patut dilaknat seluruh dunia. Tapi biasalah, satu dunia boleh kamu bisukan mulut dan mandulkan jiwa mereka dengan candu wayang ciptaan kamu. Tahniah juga kerana cukup handal melakonkan watak Presiden yang mengambil-berat tentang tragedi MH17 yang kini dipalu untuk mengalih perhatian dunia dari Gaza.
↧
↧
DOA ORANG YANG TERANIAYA
Arwah ayahanda pernah mengkhutbahkan saya yang selalu lalai ini, lebih kurang gini...
"Doa orang yang teraniaya
terutama ibu-bapa
juga anak-anak yang soleh
di 10 malam-malam terakhir Ramadhan
yang antaranya adalah Lailatul-qadar (malam penuh kuasa)
adalah antara doa-doa yang mustajab
dan yang tidak dihijab"
Anak-anak, ibu-bapa, ahli keluarga, sahabat-handai semua yang terkorban dalam serangan terhadap MH17 di Ukraine, pada sayalah, adalah orang-orang yang teraniaya.
Malah, saya suka berperasan bahawa kita secara kolektifnya sebagai rakyat Malaysia, dalam hal ini, adalah teraniaya.
Oleh itu, bila direnung-renung........daripada kita (termasuk yang menulis ni) menyibuk dan sibuk menambah toksid dengan kerja-kerja mendefisitkan jiwa dalam media sosial, lebih baik kita tumpu pada bertaubat dan berdoa.
Apa yang nak didoakan?, ....fikirkanlah sendiri. Semua dah pandai-pandai.
Sekian, terima kasih.
↧
BONDA
↧
LAILATULQADAR, BONDA DAN KEMBALI KE FITRAH - MEMANJANGKAN PESAN 'USTAZ DON' UNTUK ANAK-ANAK.
Adeela, Amira dan Ainina yang sangat Abah kasihi dunia akhirat. Sempena bulan Ramadhan ni, Abah nak bagi kuliah sikit. Mungkin bukan kuliah, tapi lebih pada sharing. Anggap ia sebagai supplement untuk leteran Abah di rumah, mahupun dalam kereta ataupun ketika Abah dalam mood berkhutbah. Lagipun memang dah jadi job spec Abah.
Sebelum mula, kita astaghfar dulu, minta ampun, mula dengan bismillah, salawat dan niat yang baik-baik. Here we go.
2014 adalah tahun yang menyedihkan, yang banyak menguji, termasuk pemergian Tok Wan kembali kepada Kekasih kita yang Hakiki. Abah juga terpaksa tempuh beberapa ujian, yang awak semua jadi saksi. Namun, itu semua mungkin tak sedasyat ujian kehilangan MH370, tragedi MH17 dan Gaza. Bayangkan bagaimana perasaan mereka yang terpaksa menempuh ujian sebegitu.
Di Gaza, ada ramai kanak-kanak tidak berdosa, remaja dan orang muda seperti awak bertiga yang dibunuh kejam, dijadikan eksperimen oleh Zionis laknat untuk menguji senjata canggih mereka, atau apa jua alasan dangkal yang boleh direka sebagai sebahagian dari wayang global 'tangan-tangan tersembunyi'. Namun, makin ramai kanak-kanak dibedil, makin ramai lagi yang dilahirkan di Gaza.
MH17 adalah jenayah kemanusiaan. Begitu juga dengan Gaza. Gaza adalah jenayah kemanusiaan yang malangnya, ada juga kalangan manusia sejagat buat-buat tak nampak (atau lihat dari lensa yang salah, kerana dah dihijab dan dijuling oleh 'tamak', kepentingan ekonomi dan keselesaan material yang palsu), termasuk di Malaysia. Tragedi MH17 dan Gaza berlaku pada bulan Ramadhan, tentu ada rahsia hikmah yang terhijab di sebaliknya.
Untuk kita, ia berlaku selepas pemergian Tok Wan yang sangat kita kasihi, yang sering mendoakan kita, yang amat menyayangi kita. Kita dah kehilangan satu sumber doa yang tidak dihijab. Tok Wan begitu menyayangi kita hingga nama anak-anak dan cucu-cucu ditulisnya berkali-kali dalam diari dan buku-buku catatan dia. Bila Tok Wan sedar dia semakin tua dan cepat lupa, dia buat begitu untuk mengingatkan diri agar tidak lupa pada anak-cucu-cicit dia. Kasih sayang dan kesabaran Tok Wan pada kita, walau macam mana kadang-kadang teruk pun perangai kita, adalah tempias atau bayangan Kasih sayang Allah.
Abah kenal beberapa orang ustaz, tapi taklah ramai. Mungkin rambut abah yang panjang macam mat rock kapak pencen ni buat mereka yang nampak warak ni jauhkan diri, atau bersungguh nak mentarbiyahkan Abah. Alhamdulillah. Boleh dijadikan modal untuk mentarbiyahkan awak bertiga pula.
Namun, ustaz yang paling dekat di hati Abah hanya seorang - Ustaz Don. Bukan Ustaz Don yang muda hensem dan selalu muncul dalam tv tu, yang Adeela baru ambil gambar dia masa dia singgah beri ceramah di Masjid Acheh hari tu! Sekarang ni, selain Ustaz Don yang 'cool' dan 'contemporary', ada ramai ustaz yang hebat-hebat, petah berceramah, banyak ilmu, popular, selalu muncul dalam program-program tv, radio, youtube dan segala jenis media sosial dan media massa, termasuk filem Melayu! Semuanya hadir dengan pelbagai pendekatan dan kepakaran masing-masing, malah ada yang kelihatan bijak membina imej jenama dan menyesuaikan diri dengan audien (majoritinya Melayu) muda, hip, kontemporari dan urban macam awak la. Alhamdulillah, syukran.
Ramai juga yang wajah-wajah mereka sering terpampang pada banyak kulit buku dan pelbagai jenis produk keislaman, dari CD ke minuman, makanan, pakaian dll. Pada banner rentang ceramah, juga sering dicetak wajah-wajah mereka untuk menarik perhatian masyarakat sasaran. Alhamdulillah, sejuk hati. Kita semua di Malaysia patut syukur. Kita tidak ketandusan guru sebagai sumber maklumat, panduan, bimbingan dan ilmu. Dah takda sebab untuk jahil tentang Islam. Kalau tak pandai-pandai juga, tak tahulah. Jika musykil, pi lah cari mereka.
Gitupun, Ramadhan pertama Abah tanpa Ustaz Don kita, Almarhum Saidon Pandak Noh Tok Wan awak bertiga, terutama ketika meniti 10 malam-malam terakhir, sering mengingatkan Abah kepada segala ilmu, pesan dan bekalan batin dia.
Tok Wan ada kata lebih kurang gini : maklumat, pengetahuan dan ilmu memang boleh kita timba sebanyak mungkin dari seseorang guru, tapi Hidayah hanya boleh dikurnia oleh Allah.
Tok Wan juga pernah pesan, keberkatan menuntut ilmu dari guru tu, hadir dari dekatnya kita dengan guru, malah digunakan misal ('amthal) bersentuh lutut antara guru dengan murid. Tok Wan juga berseloroh tentang keberkatan dapat tempias air liur guru sebab duduk dekat dengan dia. Kalau dalam majlis mega yang besar-besar dalam stadium umpamanya, tak dapatlah nak bersentuh lutut, atau kena tempias air liur. Gitu juga dengan menonton guru bercakap dalam tv, atau youtube.
Tok Wan guru Abah, dari Abah kecil hinggalah dewasa dan hinggalah dia meninggal dunia. Pengajaran Tok Wan yang paling meninggalkan kesan sudah tentulah sewaktu terbaring nazak hampir dua minggu di ICU. Dua minggu terakhir hidup dia telah membuka banyak perkara, yang mungkin tidak dapat diungkap dalam blog ini.
Mungkin orang lain boleh berkata apa jua tentang kita (dan tentang Abah sendiri yang brutal ni), itu kita terima dengan hati terbuka. Tapi tentang Tok Wan, kita pertahankanlah kehormatan dia hingga ke anak-cucu-cicit dan generasi seterusnya. Janganlah kita hina dia dengan tuduhan palsu, sangkaan buruk.
Jasa dia pada kita tak terbayar dengan wang-ringgit, walaupun macam mana kaya dan berharta pun kita. Dia tak berhutang walau satu sen atau sebesar kuman pun dengan kita. Tak usahlah nak berkira-kira sangat akaun harta dunia kita dengan dia, kerana hutang batin kita pada ia takkan dapat kita bayar.
Malah, hutang zahir pun tak terbayar, jika dikira kos sara hidup dari kita dilahirkan hingga menanggung makan-minum, sekolah, universiti, dll, jika dituntut, tak terbayar!
Abah bukan ustaz, oleh itu, Abah tak taulah kalau boleh dikorek atau dijumpa dalil Quran dan Hadis yang sokong teori ibu-bapa berhutang (harta, benda, budi) dengan anak-anak. Hari tu Andak ada panjangkan hadis tentang antara tanda akhir zaman adalah apabila ibu melahirkan tuannya sendiri. Maksudnya, ibu melahirkan anak-anak yang akan menjadi tuan padanya, yang mengerah dan memperhambakan orang tua seperti orang suruhan atau orang gaji. Na'uzzubillah.
Jika ada yang berbuat begitu, kita wajib pertahankan Tok Wan (dan Tok Syeh) kita. Jika ada yang menuntut yang bukan-bukan, atau menghina dan menyerang kehormatan Tok Wan (yang sudah tidak boleh mempertahankan dirinya lagi), kita patut tentang untuk pertahankan Tok Wan, walaupun di kalangan kerabat! Setahu Abahlah, jika kita menjadi saksi kepada sesuatu kemungkaran, tak boleh hanya nengok je, atau tak restu dalam hati (ikut skala Islam, seperti yang diajar oleh Tok Wan sendiri, itu adalah selemah-lemah iman). Sekurang-kurangnya gunakan mulut. Kalau diserang (termasuk dituduh tanpa bukti), wajib mempertahankan diri, lepas tu barulah kita doakan pihak yang menyerang, agar diberi Petunjuk dan Hidayah. Tak bolehlah kita jadi umat yang pasif, bila diserang, tak buat apa-apa, cuma doa je. Kalau gitu, umat Islam jadi lemah. Doa hanya afdal bila menyusul sesuatu usaha atau tindakan.
Macam mana brutal pun kita, jagalah kehormatan Tok Wan. Tok Wan tak jemu dan tak serik membawa Abah yang sering melarat ni untuk kembali pada fitrah, kerana kata dia "Islam itu mengembalikan kita kepada fitrah", dan "Ramadhan adalah denai atau jalan yang dibuka untuk kita kembali pada fitrah". Sebab tu dinamakan Eidul Fitri, meraikan atau me'raya'kan kejayaan kembali pada fitrah.
Seperkara yang masih Abah ingat ajaran Tok Wan adalah hubungan antara fitrah dengan ibu atau bonda kita. Tok Wan sering berpesan tentang pentingnya menghormati kedua ibu-bapa, terutama bonda. Malah, ayat terakhir yang ditinggalkan pada Abah (menerusi telefon, suruh Abah salin terjemahannya), adalah berkaitan dengan ibu-bapa (Al-Isra'(17), ayat 23). (Boleh singgah jap tautan berikut : http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/02/kena-perlu-berbuat-baik-pada-kedua-ibu.html)
Ayat diatas berkait pula dengan ayat tentang kemusnahan sebuah negara, sesuatu kaum. Carilah kaitannya dengan kepentingan menghormati kedua ibu-bapa.
Kalau ikut interpretasi Abah, bonda kita adalah 'gatekeeper' (istilah Abah) untuk kembali ke jalan fitrah. Restu dan keampunan dari bonda kita adalah kunci untuk kita buka pintu masuk kembali ke jalan fitrah. Kita patut berlumba-lumba membuat kebajikan (menjaga dia, menggembirakan hati dia, membuat apa yang dia suka dan menyampaikan apa yang dia hajati). Mungkin hajat dia akan menyusahkan kita, tapi kita kenalah yakin dan percaya dengan rezeki dan pembalasan dari Allah.
Berlumba-lumba membuat kebaikan pada bonda bukanlah untuk tujuan menunjuk-nunjuk, mem'bodek' atau sebarang agenda udang sebalik mee. Abah pernah dikatakan pandai 'membodek' bonda (Tok Syeh) oleh seorang kerabat. Istilah ini pada Abah yang keras ni, tidak begitu tepat ditujukan kepada layanan baik untuk bonda kita. Istilah yang lebih tepat dan mulia adalah berbuat baik. Tak molek kita memperlekehkan perbuatan 'berbuat baik' pada bonda dengan istilah, label atau panggilan yang tak manis.
Mungkin ramai yang sibuk mencari Lailatulqadar. Inipun selalu diceritakan oleh arwah Tok Wan, Ustaz Don kita. Bila Lailatulqadar tu? Seperti yang Tok Wan dah ajar, kita ni hanya mampu meneka, kerana hanya Allah saja yang Maha Mengetahui, bukannya manusia, walau macam mana tebal pun serban atau lebat janggutnya. Jika mahu diisi Lailatulqadar dengan amalan yang membuahkan pahala yang berganda, baguslah.
Namun begitu, janganlah kita hanya sibuk mengejar pahala dengan satu malam je. Peluang melakukan amalan kebaikan dan kebajikan dengan pahala yang amat berganda (bukan pada malam Lailatulqadar saja masih terbuka luas untuk kita, menerusi Tok Syeh awak).
Kalau kita kejar Lailatulqadar, hebat dengan segala ilmu (fardhu ain mahupun fardhu kifayah), tinggi darjat di mata manusia, berkedudukan, berpangkat dan bergelaran mulia di mata manusia, kaya-raya, banyak harta, murah rezeki dunia (benda), semua tu tak berguna satu sen pun jika kita tidak menghormati bonda kita, tidak membuat apa yang dia suka (selagi tak bertentang dengan syariat), tidak menyampai dan memanjangkan hajat dan impian dia, menyakitkan dan melukakan hati dia, apatah lagi membodoh, memomok, merendah-rendah dan menghina dia (secara terang, atau di belakang dia).
Doa Bonda (Tok Syeh) untuk kita adalah telus, terus sampai ke Allah. Jika pun kita mungkin tak sempurna, banyak buat dosa dan kesilapan dan kesalahan, tapi dengan kasih-sayang tak berbelah bagi dan hormat pada bonda kita (yang mendoakan kita), kita masih ada harapan untuk diberi Petunjuk dan Hidayah oleh Allah. Tapi sebaliknya, jika pun kita perasan kita ni elok sangat, dah cukup ilmu, dah menuntut dengan ramai ustaz yang hebat-hebat, dah bersedekah dan menderma, semua ni tak berguna jika tidak mendapat restu dan doa dari bonda kita. Kita tak boleh 'paksa' bonda kita ampunkan kita. Kalau kita paksa, atau 'ugut' hingga dia terpaksa lafazkan dia ampunkan kita, itu tak tentu diterima Allah. Allah lebih mendengar suara hati bonda, bukan suara mulut dia je. Harta dunia tidak boleh dijadikan bahan untuk merasuah Allah, atau untuk menghapuskan dosa batin, atau membeli syurga. Gitulah lebih kurang yang Abah dapat simpulkan dari beberapa pesan arwah Tok Wan (ustaz Don kita bersama) yang masih Abah ingat.
Selain dari mendoakan roh Tok Wan, kita juga perlu memanjangkan pesan, ilmu dan bekal batin yang Tok Wan begitu tekun mahu bekalkan pada kita semasa dia hidup. Itulah saham akhirat dia, janganlah kita lupa. Itu saham yang lebih baik dari harta benda. Tok Syeh pun dah pesan baru-baru ni, janganlah kita lupakan Tok Wan, jangan kita biarkan dia pergi gitu saja tanpa tanda, tanpa ingatan.
Tapi yang lebih utama, seperti yang dah dipesan oleh Tok Wan, ialah kebajikan Tok Syeh. Pahala menjaga Tok Syeh mungkin menjadi rezeki Mak Ngah, Pak Ngah dan keluarga dia, terutama dalam bulan Ramadhan. Itu pengorbanan, sumbangan dan bahagian mereka. Itu rezeki mereka yang dah tertulis dan dianugerahkan oleh Allah, kita sama-sama syukur. Alhamdulillah, Tok Wan dah bekalkan anak-anak dia (semua bapa dan ibu saudara awak bertiga) dengan ilmu agama yang cukup, semuanya tekun berbuat bakti pada Tok Syeh dan Tok Wan (ketika dia masih hidup). Kita juga boleh beroleh rezeki yang sama, dengan berlumba membuat kebaikan pada Tok Syeh, setakat kemampuan yang dipinjamkan Allah pada kita.
Oleh itu, jika mampu, kita tunaikanlah hajat dan impian dia, panjangkan kesukaan, kesejahteraan dan kegembiraan dia. Paling kurangpun jika tak mampu atau keadaan tak mengizinkan, kita elakkan dari menyakitkan hati dia.
Ingat ya, dia gatekeeper untuk jalan kembali pada fitrah. Keberkatan atau KPI (Key Performance Indicator) Eidul Fitri bukan hanya terletak pada makanan atau hidangan yang banyak dan lazat-lazat, rumah yang terhias megah, baju yang cantik-cantik, atau ramainya kekawan datang ziarah; bukan pada gambar-gambar yang boleh kita upload dalam instagram atau whassup, bukan pada hiburan dunia dan tahap bersuka-ria, bukan juga rancangan tv yang meriah-meriah, atau bunga api dan mercun; tapi dari kemaafan atau keampunan dari Bonda kita.
Apakah makna Eidul Fitri tahun ini, untuk Bonda (Tok Syeh) terutamanya. Apakah yang akan membuatkan ia bermakna untuk dia, terutama dengan ketiadaan Tok Wan disisi dia. Pernah tak kita tanya pada dia? Pernah tak kita merisik luahan hati dia? Pernahkah kita cuba merenangi jiwa dia?
Wasiat batin lebih penting ditunaikan, dari urusan benda (harta) semata-mata (yang janganlah pula diabaikan). Itulah wasiat Tok Wan yang perlu kita tunaikan bersama, ikut kemampuan kita masing-masing.
InsyaAllah, kita beroleh kejayaan kembali ke fitrah, keberkatan Ramadhan dan kemuliaan Eidul Fitri yang sebenar. Kita doakan agar seluruh umat Islam, pada tahun 2014 yang amat menguji keimanan kita ni, juga beroleh hidayah dan keberkatan yang sama.
Apa yang Abah pesan ni datang terus dari hati, yang Abah tulis pada malam 22 Ramadhan. Mungkin ada yang tak betul. Jika ada, kita sama-sama minta keampunan dan Petunjuk dari Allah. Jika ketika Abah menulis ni adalah malam Lailatulqadar, Alhamdulillah, kita panjangkan kesyukuran. Moga kemuliaannya akan membuka pintu hijab yang sebelum ini menutup pintu hati kita, agar cahaya hidayah dapat masuk.
Sekian, kuliah subuh dari Abah.
↧
↧
FIKIR JADI ZIKIR
Alam, termasuk diri kita, adalah tanda-tanda untuk dicerap oleh pancaindera, dibaca oleh aql, direnung oleh fikr.
Saya panjangkan pesan guru saya, basuhlah minda (aql) dan fikir(renungan), sebagai pra-syarat untuk dinaiktarafkan menjadi zikir(ingatan). Jika tidak, kita hanya jadi orang yang pandai je (menghurai), tapi buta hati, tiada kebijaksanaan dan tiada cahaya hikmah serta hidayah. Penat je kita berfikir, seperti yang dilakukan oleh ramai umat manusia kini.
↧
RETRACING H3RO : AFTER DAWN ON THE ROAD TO TELUK INTAN (JEJAK-SEMULA H3RO : SELEPAS SUBUH DALAM PERJALANAN KE TELUK INTAN)
Road to Teluk Intan, from Bota to Kampung Gajah to Sungai Manik to Kampung Bahagia to Teluk Intan town, driving by and across Perak River and Kinta River, paddy fields on the left and right, canals, the rustic smell, the kampung houses, mosques, roadside stalls, house restaurants, the ubiquitous kapcai, the early morning songs of the birds, the street market........greet and console me, on my way back to return to my fitrah, to my abode of peace, my anchor, my home, to be closer (in spirit) with Bonda (my mother) and Ayahanda (my late father).
Jalan ke Teluk Intan, dari Bota ke Kampung Gajah ke Sungai Manik ke Kampung Bahagia ke pekan Teluk Intan, memandu seiring dan merentas Sungai Perak dan Sungai Kinta, sawah padi di kiri dan kanan, tali air, bau desa, rumah-rumah kampung, masjid, gerai-gerai tepi jalan, restoran rumah, kapcai merata-rata, nyanyian pagi burung-burung, pasar jalan.......menyambut dan memujuk saya, yang dalam perjalanan kembali ke fitrah, ke lubuk damai, sauh, rumah, untuk dekat (di jiwa) dengan Bonda dan arwah ayahanda.
I was taught and brought up by this road. I used to travel back from Teluk Intan to Pasir Salak and Teluk Kepayang with my father and mother on kapcai (motorcycle), crossing the Kinta River by ferry and Perak river with hand-paddled sampan (small boat). After they had migrated to Teluk Intan, this road became the bridge that linked both my mother and father with their root, Teluk Kepayang. Now this road has become the pathway for me to return to their history, legacy, heritage and intangible values, their abode of love (the house that they built together for their family).
My duty is to pass the values to my kids. Going back to Teluk Intan has become my small way of showing my deepest respect, honour and love to both of them for all the values that they have (had) invested in me. So much that they had endured and went through. I pray and hope that my children will do the same to their grandparents and to my wife and I, especially when both of us have become old.
Saya dibesar dan didewasakan oleh jalan ini. Saya pernah dibawa pulang dengan kapcai (duduk antara Bonda dan Ayahanda) dari Teluk Intan ke Pasir Salak dan Teluk Kepayang, menyeberang Sungai Kinta dengan feri dan Sungai Perak dengan perahu berdayung. Setelah berhijrah ke Teluk Intan, jalan ini menjadi titian yang menghubungkan Bonda dan Ayahanda dengan tapak asal di Kampung Teluk Kepayang. Kini, ia menjadi titian laluan untuk saya kembali bertaut dengan sejarah, tinggalan, warisan, pusaka zahir dan batin kedua Ayahanda dan Bonda, lubuk cinta mereka (rumah yang mereka bina bersama untuk keluarga).
Tugas saya adalah untuk memanjangkan pusaka batin ini kepada anak-anak. Pulang ke Teluk Intan adalah cara kecil saya untuk menzahirkan rasa hormat dan cinta kepada mereka berdua atas segala nilai yang telah mereka tanam dalam diri saya. Begitu banyak sekali yang telah mereka tempuh dan lalui. Saya berdoa dan berharap agar anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk kedua Tok Wan dan Tok Syeh mereka, juga untuk isteri dan saya, apabila kami telah tua nanti.
![]() |
Photography by Delly Adeela |
↧
RETRACING H3RO : IN BONDA'S GARDEN (JEJAK-SEMULA H3RO : DALAM TAMAN BONDA)
Taman tinggalan Bonda, adalah tanda ingatan (zikr), tasbih dan tahmid dia. Kesemuanya menjadi tanda-tanda (ayat) dan bukti (bayyinat) untuk penyaksian (syahadah) adanya Yang Maha Ada. Ia adalah denai untuk akal merenung, menjernihkan fikir menjadi zikir. Ia adalah tanda kepada orang yang mengetahui (ya'lamun), orang yang merenung (yatafakkarun), orang yang memahami (yafqahun/ya'qilun), orang yang beriman (yu'minun/lil-mu'minin), orang yang memiliki ilmu (yuuqinun). Ia adalah denai Tauhid, menyambung tinggalan arwah Tok Syeh Noordin yang mengajar Bonda semasa kecil ilmu tanaman dengan bertanya, "siapa yang menumbuhkan benih tu jadi pokok?"
Bonda dah lama mengamalkan budaya hijau, jauh lebih awal sebelum ianya kini dijadikan slogan, tanda jenama dan perlumbaan menunjuk-nunjuk kebaikan korporat.
Taman ini disirami keringat kasih Bonda pada arwah Ayahanda, pada anak-cucu-cicitnya, pada tanah. Rindu Bonda pada taman yang terpaksa ditinggalkan ini, sangat saya rasai dan fahami sepenuh hati. Dengan Bonda, saya ada telepati. Mengabaikan taman dia kerana mengejar dan dikejar mimpi benda dan KPI dunia, sering mencairkan hati saya. Yang dapat saya, isteri dan anak-anak lakukan adalah memanjangkan zikir, tasbih dan tahmid dia.
The garden left by Bonda (my mother), is her zikr (remembrance), invocation to remind one of the Higher Power. All are signs (ayat) and evidences or proves (bayyinat) for the witnessing (syahadah) of the Divine Presence. It is a pathway for a contemplating mind, cleansing thought and turning it into remembrance. It is a sign for people who know (ya'malun), people who contemplate or reflect (yatafakkarun), people who understand (yafqahun/ya'qilun), people who posses faith (yu'minun/lil-mu'minin), people who posses knowledge (yuuqinun). It is a pathway of Tawhid (making one), extending lesson from Tok Syeh Noordin (my grandfather) who had taught my mother when she was a little girl by asking, "who made the seed grows into a tree?"
My mother has already practiced 'green culture' way before it has now become a slogan, a brand proposition or even a showcase of a caring corporation.
This garden has been showered by mother's sweat of love towards my late father, her children, grandchildren and great-grandchildren, towards the earth. She misses her garden dearly, I can feel and understand her feeling with all my heart. With her, I have a telepathic communication. Having to abandon her garden due to my pursuit for worldly KPI and dreams of forms, has always broken my hardened heart. What my wife, my children and I could offer is to extend her zikr.
Thank you Bonda, for melting my hard-rock mind with your garden.
↧
JEJAK-SEMULA H3RO : DUHAI JARI YANG BERTASBIH (RETRACING H3RO : OH FINGERS THAT INVOKE REMEMBRANCE)
![]() |
Jari-jari Bapak diusap jari-jari cucunya Adeela ketika di ICU, bergetar sepanjang masa. Sampai sekarang aku masih rasa getarannya. |
Duhai jari-jari yang sepanjang hayatnya, telah mengajar aku yang kurang ajor ni tentang kehebatan bertasbih, tentang getaran zikir yang merentas jasad. Untuk beberapa hari semasa di ICU, ia menggenggam jari-jari aku yang dah dikematu nafsu. Ia bergetar (menggeletar) sepanjang masa hingga meleraikan segala mimpi benda yang aku kejor, pegang, tatang dan tayang sebelum ni. Ia menggegar segala yang palsu dalam diri aku, sebelum kemudiannya menjadi kaku, untuk aku basuh dan usap buat kali terakhir.
Bapak,
Hingga sekarang aku masih rasa getaran jari-jari mu.
Bapak,
Getaran zikir mu merentas jasad, ia terus bergetar walaupun jasad mu dah takda. Ia bergetar dalam dada aku yang keras ni. Bila minda aku yang cukup bising dan rasa aku yang berkocak itu senyap, aku mendengarnya.
Bapak,
Aku pulang. Aku tunaikan janji batin ku untuk kembali ke tapak kamu menggetarkan zikir kamu selama hayat kamu. Aku pakai jubah kamu. Aku bertasbih dengan tasbih kecil yang kamu hadiahkan pada ku. Aku bawa kain serban kamu. Aku baca segala zikir dan doa yang kamu dah ajar pada ku. Aku mengaji dengan tajwid, taranum dan fasohah yang telah kamu tanam dalam jiwa ku. Aku tunaikan janji batin ku untuk membawa semuanya kembali ke tapak zikir kamu.
Bapak,
Di rumah mu, di bilik mu, di tapak sejadah yang kamu bentang di sisi katil mu, aku diam. Di sini, dan di Masjidul-na'im Taman Sri Setia Teluk Intan tempat kamu mengimamkan solat (fardhu, tarawih dan eidul fitri), aku dengar suara zikir mu. Aku dengar suara taranum mu. Aku dengar suara khutbah kamu. Dan yang paling mencairkan, aku dengar takbir raya mu. Aku dengar suara qiamulail kamu. Aku rasa sangat dekat dengan mu. Aku rasa kamu ada.
Bapak,
Zikir kamu menjadi titian fitrah dan sanad, membawa aku kembali pada Nabi Muhammad s.a.w, untuk kembali kepada fitrah, kepada Ada yang Maha Ada.
Bapak,
Tenanglah kamu di kebun-kebun syurga. Saham akhirat mu tetap subur. Di masjidul-naim, aku menyapa bekas anak didik kamu Ustaz Rahman, yang menitis air-matanya mengenang mu, terutama ketika berqiamul-lail, yang katanya diasaskan oleh mu.
Bapak,
↧
↧
JEJAK-SEMULA HERO : KASIH SESAMA MAKHLUK (RETRACING HERO : LOVE BETWEEN LIVING BEINGS)
↧
JEJAK-SEMULA H3RO : BERAYA DI TAMAN BONDA (RE:TRACING H3RO : CELEBRATING EID IN BONDA'S GARDEN)
Sebagai warisan batin, taman Bonda sudah saya ulas dalam blog yang lepas. Tapi bagi mereka yang terhad pandangan batinnya, Taman Bonda juga pernah ditabalkan sebagai sebagai Johan Pertandingan Landskap (Laman Cantik) Peringkat Hilir Perak. Pada saya la, ini satu pencapaian hebat kerana Bonda tak pun berpeluang belajar tinggi-tinggi dalam bidang pertanian atau rekabentuk landskap di universiti, tak seperti beberapa orang anaknya (termasuk yang menulis ni) dan cucu-cucunya yang bertuah dapat belajar tinggi-tinggi sampai ada yang dah ada Phd. Begitu pun, Bonda bercucuk-tanam bukanlah untuk ganjaran atau habuan benda, mahupun makanan takbur. Habuan benda dan makanan riak hanya akan membutakan hati dan mengeraskan jiwa.
Saya dibesar dan dibasuh oleh zikir, tasbih dan tahmid Bonda dalam taman ini. Ia telah menanamkan bekalan batin atau dalam bahasa canggihnya, medan kuantum saya, yang masih hidup subur dalam diri saya. Pokok, bunga, batu-batu dan burung-burung yang singgah, termasuk segala jenis makhluk yang menumpang ekosistem taman ini, semuanya bertasbih, gitulah yang selalu dipesan oleh Bonda. Pesan ini selalu bergetar dalam minda dan rasa saya setiap kali melihat taman-taman atau persekitaran semulajadi yang pernah saya singgahi, baik di dalam atau di luar negara.
Oleh itu, walaupun tak selalu, adalah sesuatu yang mesti untuk saya pulang ke taman Bonda. Ia menenang, menceria dan membahagiakan saya. Saya percaya, gitu jugalah yang dialami oleh Bonda. Ia adalah denai untuk saya kembali kepada fitrah. Inilah juga yang sering saya khutbahkan pada anak-anak, walaupun mungkin mereka dah naik jemu mendengarnya.
Merayakan Eidul Fitri dengan pakaian bersih baru di taman Bonda adalah antara kebahagiaan dunia, dan harapnya denai kebahagiaan akhirat untuk saya sekeluarga.
Mohon ampun dan maaf zahir dan batin kepada semua sanak-saudara, sahabat dan kenalan. Selamat Hari Raya.
Kepada mereka yang menghantar mms Hari Raya canggih kepada saya di 017 5047743, mohon maaf jika tak dapat balas, kerana telefon bimbit saya yang amat canggih (handphone lama) tak dapat membacanya. Terima kasih tak terhingga atas ingatan dan ucapan. Saya amat menghargainya.
↧
JEJAK-SEMULA H3RO : ZIARAH RAYA 2014
"Dulu aku ni benak sangat sampai Ustaz Saidon mati akal nak buat apa dengan aku. Last sekali dia baca jampi, suruh aku nganga. Lepas tu dia ludah dalam mulut aku. Menjadi!"
"Aku dulu malas, tak buat homework, kecuali kalau homework ustaz Saidon. Cikgu-cikgu semua aku tak takut, kecuali ustaz Saidon."
"Ada sorang bilal di masjid, cuba jadi imam. Bila dia tahu Ustaz Saidon jadi makmum kat belakang, kain pelikat dia bergetar, kaki dia mengeletar."
"Bapak kamu bagi ceramah tadi. Dia kata, dia pun suka dancing (menari) dan tak salah kalau nak menari untuk berhibur. Bila ditanya dia menari dengan siapa dan di mana, dia jawab, dengan bini saya di rumah! Betul ke Bapak dengan Mak kamu menari kat rumah?"
Ni antara anekdot yang pernah saya kutip tentang Bapak dari mulut orang lain. Ada juga yang lebih brutal dari yang di atas. Di kalangan bekas murid-muridnya, Bapak ni legend.
Saya wartakan juga di sini cerita rakyat versi Bapak yang selalu diulang-tayang pada anak-anak murid dia. Bapak memang terkenal sebagai stand-up comedian bila dia mengajar dan memberi ceramah. Ceritanya lebih kurang begini:
"Seorang pemuda kampung yang malas menuntut ilmu cuba memikat anak-dara seorang guru agama. Untuk menjadi calon menantu guru agama, tentulah kena fasih berbahasa Arab. Malangnya pemuda kampung ni langsung tak pandai berbahasa Arab.
Nak jadi cerita, satu petang semasa pemuda tersebut sedang menjala ikan di sungai dengan seorang rakannya, dia ternampak anak dara guru tersebut sedang lalu. Dengan serta-merta dia menjerit ke arah rakannya.
"Tabor-roqal-lazi" (Tabor la, apa lagi!)('tabor' maksudnya, menebar jala)
"Wabtariq!" (Cepat tarik!)(maksudnya, cepat tarik jala)
Rakannya menjawab,
"Wassjuk!" (Air sungai sejuk)
"Wasslam-muhu" (Lebih baik kamu menyelam je)
Rakannya terus menyelam sambil cuba menangkap ikan dengan tangannya. Dapat sekor ikan.
"Fa-ikanna?" (Ikan apa?) tanya pemuda itu.
"Lampam-fa-uhu!" (Ikan Lampam)
Saya dah lupa kesudahan ceritanya, dapat ke tidak pemuda tu menjadi menantu guru agama tu? Kena tanya abang-kakak atau anak murid Bapak yang lain.
Satu lagi hikayat yang pernah diceritakan Bapak semasa ceramah hari guru di depan school assembly yang juga dah jadi legend adalah "Ehem-ehem, aku tau la!". Tapi yang ni, lebih menyengat dijadikan short video dari diceritakan dalam bentuk bertulis.
Nama Bapak sebagai antara legend lama di Teluk Intan kini mungkin semakin haus dicuri hari dan ditelan raksasa bernama 'mengejar dan dikejar kemajuan material'.
Melihat legend ni meniti usia tuanya di luar dari persekitaran atau ekologi semulajadinya (sekolah atau premis ilmu dan surau/masjid, ceramah dan majlis-majlis agama), selalu membuat hati saya yang keras menjadi melankolik mengalahkan menonton filem Hindustan. Beberapa bulan sebelum dia pergi buat selama-lamanya, dia dah beri beberapa hints yang mungkin tidak mudah dikesan. Sesekali apabila menziarahi dia di rumah abang-abang atau kakak-kakak, saya lihat dia 'hilang' dalam menung yang jauh.
Semasa masih sihat, dan mungkin juga sudah jangka hayatnya sudah hampir sampai penghujung, Bapak pernah pesan pada saya bahawa antara job spec atau tanggungjawab seorang anak apabila ibu atau bapanya meninggal dunia adalah pergi ziarah rakan, kenalan, sahabat dan bekas anak-anak murid dia, termasuk anak-anak mereka. Ini salah satu dari hints atau tanda-tanda dari dia.
Saya sebenornya segan, terutama pada bekas anak-anak murid Bapak yang dah jadi imam, atau ustaz. Ada yang bergelar Dato' atau Orang Besar Negeri Perak. Ada juga tukang gunting rambut (Maniam) atau peniaga runcit. Kategori ini saya tak segan sangat. Yalah, Bapak ustaz, anaknya yang bongsu macam mat rock kapak pencen. Ada penyakit 'anti-social' pulak. PR skill saya tak cemerlang.
Tambah pula, network Bapak di Teluk Intan ni luas dan merentas status, tak terjangkau saya.
Raya tahun ni saya gagahkan jugalah, mana-mana yang terjangkau. Semuanya ada cerita tersendiri tentang Bapak. Anekdotnya banyak, termasuklah tentang kebrutalan Bapak dalam mengajor.
Kenangan mereka yang baik-baik terhadap Bapak amat menyejukkan hati saya. Bersama-sama dengan mereka, saya mendoakan agar roh Bapak, hero dan legend saya, ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh.
Ziarah Ustaz Rahman, imam Masjidunna'im Taman Sri Setia (yang mengantikan tempat Bapak), juga bekas anak murid Bapak. Anak-anak Ustaz Rahman juga hebat-hebat. |
Bersama Ustaz Rahman, isteri dan salah seorang cucunya. |
Dengan Dato' Sulaiman Nawi, Orang Besar Perak, lebih mesra dipanggil Pak Leman. Orang kuat UMNO dan rakan lama Bapak. |
↧
JEJAK-SEMULA HERO : PAGI SYAWAL 2014
Adeela, Amira, Ainia, bersyukurlah sebanyak mungkin dengan segala rezeki, kita dapat beraya dengan aman, tenang, damai dan ceria. Ucapkan zikir, tasbih dan tahmid selalu. Jadikan salawat pada Nabi Muhammad, lidah rasmi. Semuanya mengembalikan kita kepada getaran fitrah kita semua. Panjangkan doa untuk Tok Wan, Tok Bah, dan semua saudara-mara yang telah meninggal dunia.
Takbir!
↧
↧
JEJAK-SEMULA H3RO : CONDONG DI MENARA CONDONG
Ramainya orang bergambar di menara condong Teluk Intan. Meriah. Tapi hati saya condong, berdiri di atas bekas tapak kedai Bonda yang semakin lupus dimakan lupa. Kedai kain Bonda juga antara lokasi saya membesar. Ia mengingatkan saya kepada segala penat-lelah, keringat, pengorbanan, susah-payah, juga kecekalan serta semangat besi Bonda berniaga.
Bangunan MARA tempat Bonda mula berniaga di Teluk Intan, pula dah jadi Arked..tah amenda...
Kini, semuanya jadi hikayat buat bekal warisan anak-anak. Harap dapat dipanjangkan pada cucu-cicit generasi seterusnya, agar tidak lupus dimakan binatang bernama 'pembangunan'.
![]() |
Foto oleh Delly Adeela |
↧
JEJAK-SEMULA H3RO : BERAYA DI RUMAH KAK BIAH
Salah satu acara rasmi dalam itenari Raya adalah beraya di rumah Kak Biah, sepupu saya, anak arwah Pak Ngah, bapak saudara saya yang legend. Rumah Kak Biah di Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak, terletak betul-betul depan rumah arwah Tok Syeh Noordin, datuk sebelah Bonda. Rumah Tok Syeh dan Pak Ngah ni antara setting balik kampung saya yang awal, semasa saya masih kecil. Saya masih ingat duduk bermain atas riba Tok Syeh sambil menggosok-gosok janggut dan kepala dia yang botak dan berkilat. Dia biarkan saja.
Rumah Pak Ngah juga sering menjadi port untuk keluarga keturunan Tok Syeh berkumpul atau lepak semasa saya kecil sekitar tahun-tahun 1970an, terutama jika ada majlis atau kenduri. Ia juga istimewa kerana di rumah inilah Tok Syeh meninggal dunia. Tok Syeh umurnya panjang, dia meninggal pada usia 112 tahun.
Rumah pusaka Tok Syeh depan rumah Pak Ngah, kini dipusakai oleh waris arwah Tok Cik, isteri keempat dia. Tok Syeh saya juga sorang lagi legend, tapi bukanlah sebab dia ada empat isteri. Nantilah, lain kali cerita.
Dulu semasa arwah Bapak masih sihat, saya pernah ikut dia menghantar wang zakat niaga Bonda pada orang-orang miskin sekitar Teluk Kepayang beberapa hari sebelum Raya. Kedatangan Bapak memang selalu dinanti, kerana wang zakat tu, walaupun tak seberapa, adalah amat bernilai bagi mereka, terutama untuk menyambut Eidul Fitri.
Salah satu kenangan terakhir dengan arwah Bapak adalah membawa dia dan Bonda ziarah rumah Kak Biah untuk makan durian dan masakan kampung, sambil singgah ke surau tepi tebing sungai Perak tempat dia solat semasa muda di kampung, dan juga di Pasir Salak, tempat dia pernah mengajar. Walaupun kali ni Bapak tak lagi bersama, kami tetap terasa seperti dia ada.
Rumah Kak Biah membawa saya, isteri dan anak-anak mengimbau sejarah dan asal-usul kedua-dua Bonda dan arwah Bapak. Duduk dipinggir bandar atau kota mungkin boleh membuat saya dan anak-anak prasan hip, contemporary, urban. Saka prasan ni boleh buat kita lupa. Sebab tu lah, jika ada kelapangan, saya singgah bertandang ke rumah Kak Biah, bawa anak-anak, agar mereka tidak lupa diri dan sedar asal-usul kampung mereka. Lagipun, cakap bahasa orang putih pun, lidah saya sampai sekarang masih lidah tempoyak.
↧
JEJAK-SEMULA H3RO : KENAPA SAYA SINGGAH DI TEBING SUNGAI PERAK TELUK KEPAYANG
Saya telah dianugerahkan rezeki untuk pergi ke banyak tempat-tempat menarik merata Malaysia, dan dunia. Tak payahlah nak disenaraikan pulak, sebab boleh jadi makanan takbur. Tapi, walau macam-mana lasyat pun tempat-tempat tersebut, singgah sekejap di tebing Sungai Perak di Teluk Kepayang masih lagi istimewa.
Singgah di tebing sungai Perak, berhampiran dengan surau Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak, yang menjadi markas ibadah arwah Bapak semasa kecil dan remaja, adalah itenari Raya saya. Kenangan terakhir bersama arwah Bapak dan Bonda di tebing ini membuat kami terasa macam dia ada bersama. Kerinduan pada dia terubat sikit bila menyusuri-semula tempat-tempat yang dekat dengan sejarah hidup Bapak.
Singgah di tebing sungai Perak, berhampiran dengan surau Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak, yang menjadi markas ibadah arwah Bapak semasa kecil dan remaja, adalah itenari Raya saya. Kenangan terakhir bersama arwah Bapak dan Bonda di tebing ini membuat kami terasa macam dia ada bersama. Kerinduan pada dia terubat sikit bila menyusuri-semula tempat-tempat yang dekat dengan sejarah hidup Bapak.
Teluk Kepayang juga kampung kelahiran kakak saya yang sulung, Puteh Saadiah. Walaupun dah lama bermukim di Kuala Lumpur dan kini menjadi pengusaha stesyen minyak yang berjaya, lidah dia, seperti saya juga, masih lidah Perak, lidah tempoyak. Dalam medan minda dan rasa kami sekeluarga, sudah di depositkan banyak getaran bumi Perak, ilmu serta segala nilai yang tidak terbayar.
Sungai, sampan berdayung, bot, feri tarik merupakan medium perhubungan yang penting pada zaman sebelum adanya segala kemudahan jalanraya dan jambatan. Tebing sungai Perak penuh dengan tambatan, tempat mandi dengan sky roof (berdinding tanpa bumbung) dan juga jamban. Kalau mandi (di hilir atau hilio kata orang Perak), terpaksalah berhati-hati dengan sebarang objek terapung (tahi orang) yang hanyut dari jamban-jamban di sebelah hulu. Ini tak termasuk segala jenis hantu, jin, jembalang, saka yang dibuang dalam botol ke sungai.
Sungai adalah nadi yang penuh dengan legenda, watak-watak intrigue, twist & turn. Saya masih ingat masa balik kampung naik kapcai dengan Bapak dan Bonda, menyeberang sungai naik sampan (dengan kapcai sekali), di dayung secara manual guna tenaga kudrat pendayung. Menurut Bonda, jika balik ke kampung Teluk Kepayang, abang-abang saya dimandikan di tebing sungai. Gambarnya pun masih ada, tapi kalau saya letak di sini, takut mendatangkan 'kemaluan' (memang tunjuk kemaluan pun) pada abang-abang yang sekarang ni dah jadi datuk orang. Tapi ni hikayat dulu la. Sekarang ni, sungai dah jadi tempat buang toksid dan campak sampah, bukannya baja organik macam dulu.
Antara kampung legend yang pernah Bapak ceritakan termasuklah bagaimana perahu Orang Besar dulu-dulu, jika menghilir sungai, tak boleh didahului tahi orang. Ini hikayat "Tahi Besor":
"Tu menatang ape (apa benda) tu!! Taik(tahi) sape(siapa) tu? depan perahu teman!! Besornye! Kurang ajor!!" ditengkingnya.
"Tak, tu bukan taik orang, itu taik tuan......tuan buang sebelum menghilio tadi", kata pendayung untuk cover line.
"Kalau taik teman, takpe le..."
Orang Besar, yang besar diri (sombong, ego, riak, takbur), didahului oleh tahi besar dia sendiri. Carilah sendiri moral of the storynya.
Hikayat dan cerita rakyat dalam repositori ceramah agama Bapak sering disertai dengan moral of the story, siap dengan petikan dari Quran dan Hadis. Ini membuatkan ceramah dia (ketika dia masih muda dan sihat) lebih lawak dari pelawak-pelawak Maharaja Lawak, tapi berisi. Bapak punya sense of humor, terutama semasa dia masih bertenaga, sangat mischievous. Bila Bonda marah (Bonda kalau marah, memang brutal), dia buat lawak bodoh.
"Kalau bini tak marah, tanda bini tak sayang. Kalau bini tak sayang, pendek umor." Tu lah jawapan Bapak, yang Bonda ceritakan pada saya. Perkara pertama yang dimintanya bila dia sedar semasa nazak di ICU, adalah memeluk dan mencium Bonda.
"Tolong panggil isteri saya", tertulis pada kertas putih dengan tulisan yang sudah lemah, berterabur (sebab tangan mengeletar dan mata tak nampak), mulut pula dah tak boleh bercakap sebab disumbat dengan segala jenis tiub. Ini antara permintaan dia (pada jururawak kekwat di ICU).
"Pesan Tok kuat. Jaga Tok", satu lagi tulisan dalam jawi, untuk cucu dia.
Tangan lagenda, guru dan stand up comedian saya yang lemah dan menggeletar, melambai-lambai memanggil. Adakalanya dia genggam kuat tangan saya, tak bagi saya (dan semua anak-anak-cucu-cucu yang bergilir-gilir menemaninya) meninggalkan dia. Masih terbayang-bayang, walaupun saya cuba erase atau trash kan dari minda.
Al-Fatihah untuk Bapak.
Bonda dan saya sekeluarga amat merindui dia.
Sampai sekarang, saya tak sanggup nonton video short "H3RO" yang saya buat dengan Andy.
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/02/h3r0.html
atau
https://www.behance.net/gallery/14761117/H3RO-(2014)
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/02/h3r0.html
atau
https://www.behance.net/gallery/14761117/H3RO-(2014)
↧
JEJAK-SEMULA H3RO : USU (RETRACING H3RO : USU)
Usu, di jendela rumahnya di Manjoi, Ipoh. "Mana gunting, tolong carikan gunting, bior (biar) aku potong je rambut tu!!!" |
Tinggal dia je, Usu saya yang comel, satu-satunya adik arwah Bapak, yang sering memeluk dan mencium Bapak (dipanggil Abang) setiap kali berjumpa, hinggalah kali terakhir bila jenazah arwah Bapak sudah terkujur kaku. Kasih Usu pada arwah Bapak buat hati saya sejuk. Saya nampak arwah Bapak menerusi dia.
She's the only one left, my cute little and petit Usu, the only sister of my late father, who used to hug and kiss my late father (she called him 'Abang', meaning brother), every time she met him, until her last hug and kiss when my late father's body was lying motionless. Her love towards my late father always soothes my heart. I see my late father through her.
↧
↧
MOTOR KLASIK BSA, IPOH MALI.
"Toksah le berangan, tak payah le menyusah diri, baik naik kerete je", kata Usu. |
Darah rider dari Bapak masih mengalir dalam diri ini. |
Macam jumpa girlfriend lama pulak! Ijut (sepupu saya) senyum je, "masih boleh jalan lagi tu! Cubalah start." |
Masih mengaum dengan gagah, dan masih boleh menggugurkan jantung. |
BSA ini mengembalikan saya ke zaman brutal jadi rider dulu. |
↧
JEJAK-SEMULA H3RO : SIRI JENDELA DI MANJOI (RETRACING H3RO : WINDOW SERIES AT MANJOI)
Tertunai hajat Bonda beraya di Ipoh bersama Usu (adik arwah Bapak). Syukur alhamdulillah, sejuk hati melihat mereka berdua mampu tersenyum walaupun masih sedih dengan pemergian Bapak. |
Lihat juga :
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/08/jejak-semula-h3ro-usu-retracing-h3ro-usu.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/08/motor-klasik-bsa-ipoh-mali.html
↧
PESANAN TANPA PENGGUNAAN 'HAILER' (MESSAGE WITHOUT THE USE OF A HAILER)
Marilah kita berdoa agar masih ada lagi orang-orang alim tulen (yang kebiasaannya tidak begitu dikenali) yang masih sudi berdoa untuk kesejahteraan negara kita. Walaupun kecil, sudah terlalu banyak tanda yang menunjukkan negara kita sedang cuba di'usik'. Hijab yang menutupnya semakin terbuka. Salah satu proses utama dalam pemulihan dan penyembuhan adalah membuka hijab yang menutup punca penyakit. Hijab dibuka oleh doa orang-orang alim (disamping muhasabah dan taubat orang-orang biasa macam kita, bukan hanya pandai mohon hajat je). Bila dibuka, punca penyakit (batin) nampak, untuk kita sama-sama betulkan.
Lets pray that there are still truly and genuinely pious individuals (normally unknown or obscured) who still generously pray for the peacefulness of our nation. Although Malaysia is small, there are many signs suggesting that our nation is being 'poked'. The veils that have been obscuring this are now unveiled. One of the processes of healing is the unveiling of the veil that obscures the source of an illness. Such veils can only be opened by genuinely pious people (other than our own 'reflective' exercise and repents, not just asking). Once unveiled, the source of an illness (spiritual) can be seen, for us to correct and heal.
Membenci seseorang atau sekumpulan orang (kerana sikap pembencinya), hanya akan membenihkan lebih banyak benci. Membenci (dengan melampau) atas dasar perbezaan kulit, bangsa, ideologi politik, fahaman agama, tafsiran akal, pandangan intelek, amalan budaya dsb, adalah satu punca dan salah satu dari pintu neraka dunia. Pintunya ada dalam hati kita semua. Kuncinya pada kita semua. Jika dibuka, ia menghijab pintu hikmah, mengeraskan hati, membuta akal dan melupuskan kemanusiaan. Ia mudah berjangkit menjadi wabak. Wabak ini akan menzahirkan perseteruan, permusuhan, perbalahan, pembunuhan dan peperangan yang boleh berlanjutan berpuluh-puluh tahun. Kifarah, musibah, bala boleh berlaku di mana-mana, semuanya adalah tanda-tanda untuk dijadikan amaran untuk kita. Tanda-tandanya juga dah timbul (dibuka) di negara kita.
Hating somebody or some people (because of their hatred), will only breed more hates. Hating (extremely) because of differences in skin colour, race, political ideology, religious belief, mind interpretation, intellectual position, cultural practice etc, is the source and one of many doors for hell on earth. The doors are in our hearts. The key is with each of us. If opened, it will veil the door to wisdom, harden our hearts, blind our minds and eradicate humanity. It can spread into a plague. Such plague will bring out quarrels, disputes, murders and wars that can go on for many many years. Disasters can strike anywhere, all of which are signs for us to be warned. The signs have also appeared (unveiled) in our country.
Oleh itu, jom la kita tobat. Janganlah ikut perangai, telunjuk, dakyah dan helah orang lain yang sibuk kita 'benci'. Ia hanya membuka pintu neraka dunia. Sebaliknya, bukalah pintu cinta, kasih sayang dan kemaafan. Tutup pintu benci yang melampau-lampau hanya dengan sebab yang cetek.
Kuncinya ditangan kita semua.
Therefore, lets repent. DOn't follow the attitudes, directions, propagandas and tricks of those whom we like to 'hate'. That will only open the door to hell on earth. Instead, open the door of love and forgiveness. Close the door of extreme hatred just out of superficial reasons.
The key is in our hands.
↧